Artifak Perkapalan Malayonesia Sebelum Abad Ke-19 Berdasarkan Catatan Bertulis dan Sumber Arkeologi

Oleh: Mohd Rohaizat Abdul Wahab – Aktiviti perkapalan orang Melayu dipercayai bermula sejak daripada zaman pra-sejarah lagi iaitu ketika zaman Neolitik akhir di mana masyarakat dahulu telah berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan jalan air. Penempatan manusia zaman proto-sejarah yang kebanyakannya di pesisir pantai dan muara sungai mengilhamkan masyarakatnya menghasilkan kenderaan di air. Penemuan beberapa artifak berkaitan dengan perkapalan Melayu juga menunjukkan masyarakat Melayu dahulu telah menguasai ilmu pembuatan kapal. Pembuatan kapal merupakan satu kerja yang rumit dan kompleks kerana ia melibatkan beberapa teknik harus dikuasai oleh tukang perahu atau kapal. Beberapa teknik telah dicipta dan digunakan oleh tukang Melayu bagi menghasilkan kapal yang kukuh dan teguh. Kerja pembuatan kapal ini juga memerlukan perancangan yang rapi dan berstruktur bagi menjaga kualiti pembuatan dan memberi kepercayaan membeli dan penggunanya. Pembuatan kapal juga memerlukan satu pasukan kerja yang terlatih dan dipimpin oleh seorang tukang timbal yang mahir. Beberapa artifak mengenai perkapalan Melayu telah dijumpai di kawasan Malayonesia dan mempunyai teknik yang hampir sama. Jumpaan beberapa artifak perkapalan ini membuktikan masyarakat Melayu menguasai teknologi dan kemahiran dalam pembuatan kapal. Kertas kerja ini menghimpunkan artifak yang berkaitan dengan perkapalan Malayonesia yang telah dijumpai sebelum ini dan cuba menghurai teknik yang digunakan dalam pembuatan kapal.